fbpx

2 dalang sindiket pasport ‘terbang’ tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAHARUDDIN (tiga dari kanan) bersama pegawai penyiasat menunjukkan gambar penangkapan warga India dan Pakistan yang dipercayai menjalankan kegiatan pasport 'terbang'. - Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Satu sindiket pasport ‘terbang’ yang memalsukan cop keselamatan Jabatan Imigresen (JIM) mengaut untung dengan mengenakan bayaran antara RM650 hingga RM3,000 bagi satu permohonan.

Sindiket yang didalangi oleh warga asing sepenuhnya sejak 2022 itu tumpas setelah dua dalang sindiket tersebut ditahan dalam Ops Serkap di Perhentian Teksi Bangunan Sultan Iskandar, di sini, Ahad lalu.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, hasil risikan setelah menerima maklumat dari orang awam, dua warga asing berusia 30 dan 35 tahun itu ditahan pukul 6 petang.

Katanya, ketika ditahan, warga Pakistan itu sedang berada di dalam sebuah kereta manakala warga India yang bertindak sebagai tonto berada di perhentian teksi BSI dipercayai sedang menunggu pelanggan.

Tambahnya, sindiket pasport ‘terbang’ ini didalangi sepenuhnya warga asing tanpa bantuan warga tempatan dan sindiket ini dipercayai berpusat di kawasan Bukit Chagar, di sini.

“Sasaran utama sindiket ini adalah warga asing yang majoritinya warga Pakistan dan India yang mempunyai masalah permohonan lanjutan permit kerja dan pas lawatan sosial.

“Sindiket itu mengena caj dikenakan bagi pemalsuan cop JIM pada borang permohonan adalah antara RM650 hingga RM3,000 tiap seorang.

“Menerusi siasatan awal, sindiket ini dipercayai telah aktif sejak 2022 dengan mengambil kesempatan ke atas pelbagai program kerajaan di seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Dalam operasi itu, JIM merampas lima pasport India, enam pasport Pakistan, wang tunai RM3445.50 dan pelbagai mata wang asing RM474.75, empat telefon pintar dan kereta Toyota Altis.

Mengulas lanjut, Baharuddin berkata, warga Pakistan dan India berkenaan direman 14 hari bermula Ahad lalu bagi siasatan lanjut.

Katanya, menerusi siasatan awal mendapati warga Pakistan itu mempunyai permit sah manakala warga India itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 57(1)(l), Seksyen 56(1A)(a), Seksyen 56 (1A)(b) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (Akta 150).-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI