fbpx

Tindakan terhadap guru wanita bergantung kepada hasil siasatan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina ketika ditemui pemberita selepas majlis itu di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, hari ini-FOTO/ AFIQ RAZALI/KOSMO!

KLANG- Sebarang tindakan terhadap guru wanita yang dikatakan bercinta dengan muridnya di sebuah sekolah menengah di Sepang dekat sini, bergantung kepada hasil siasatan dijalankan polis.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya kini sedang menunggu siasatan diselesaikan pihak berkuasa sebelum mengambil tindakan sewajarnya kepada guru tersebut.

“Selepas selesai siasatan, guru ini tidak boleh berurusan dengan murid terbabit.

“Apapun, semua tindakan yang bakal diambil ke atas guru berkenaan mengikut garis panduan yang ditetapkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau Majlis Temu Mesra Menteri Pendidikan Bersama Calon Peperiksaan STAM 2023 di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), di sini.

Ketika ditanya mengenai keadaan pelajar tersebut, Fadhlina menegaskan kementerian sedang memberikan bantuan psikososial kepada pelajar tersebut.

Kosmo! sebelum ini melaporkan penularan pendedahan perlakuan tidak bermoral seorang guru wanita bercinta dengan pelajar lelaki berusia 17 tahun di laman aplikasi X.

Menurut hantaran itu, pendidik yang juga ibu lima anak tersebut sudah beberapa kali mendekati ‘adiknya’ sehingga laporan polis terpaksa dibuat selain aduan kepada Pejabat Pendidikan Daerah dilakukan

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof memaklumkan, guru berusia 37 tahun itu didakwa memeluk dan mencium leher murid tingkatan empat di perpustakaan sekolah sehingga meninggalkan kesan kemerahan sekitar Disember tahun lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14, Akta Kesalahan Seks Terhadap kanak Kanak 2017. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI