SHAH ALAM – Pengorbanan seorang lelaki berkelana ke Guangzhou, China untuk menuntut ilmu membuat roti membuahkan hasil apabila makanan itu laris dijual di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam di sini pada Ramadan ini.
Muhd. Edy, 36, berkata, dia belajar membuat roti daging China itu daripada nenek rakannya pada hujung tahun lalu.
Katanya, keterujaan mendalami ilmu itu timbul apabila melihat jualan roti tersebut di di ibu negara begitu laris.
“Saya ambil masa dua minggu untuk mempelajari selok-belok dari segi bahan, cara masakan dan penyediaannya.
“Tidak sangka roti ini mendapat permintaan tinggi walaupun baru kali pertama dijual di sini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Lelaki itu berjaya menjual lebih 1,000 roti setiap hari sehingga terpaksa mengehadkan dua keping roti bagi setiap pelanggannya.
Jelasnya, rempah dan tepung roti tersebut diimport dari China bagi mengekalkan keaslian dan kesedapannya.
“Saya akan menyiapkan isi roti itu di rumah, manakala doh roti pula diuli di gerai
“Terdapat dua pilihan iaitu roti ayam dan roti daging yang dijual pada harga RM9 hingga RM13,” katanya.