KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini menerima zakat korporat daripada RHB Islamic Bank Berhad bagi tahun berakhir 2023 berjumlah RM3 juta.
Penyerahan tersebut dibuat oleh Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali kepada Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman dalam satu majlis di Wisma PPZ-MAIWP.
Adissakin berkata, penyerahan zakat korporat itu merupakan tertinggi oleh pihak RHB Islamic Bank Berhad yang mana pada tahun lalu, sebanyak RM2 juta zakat korporat dibayar kepada PPZ-MAIWP untuk tahun berakhir 2022.
“Jadi kali ini kita bayar RM3 juta zakat korporat yang mana peningkatan RM1 juta berbanding tahun sebelumnya. Untuk negeri pula, kami turut melaksanakan kewajipan zakat korporat ini di pusat zakat negeri.
“Kami berharap dengan peningkatan ini akan memberi manfaat lebih besar kepada lebih ramai individu yang memerlukan dan dapat meningkatkan impak positif dalam usaha pemerkasan asnaf,” katanya pada Majlis Kolaborasi PPZ-MAIWP bersama RHB di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berharap dapat meningkatkan keuntungan perniagaan sepanjang tahun ini sekali gus dapat melaksanakan jumlah pembayaran zakat yang lebih tinggi.
Sementara itu, Abdul Hakim berkata, beliau menghargai komitmen yang diberikan oleh RHB Islamic
dalam menjadikan PPZ-MAIWP sebagai rakan sinergi bagi beberapa bentuk kerjasama khususnya dalam meningkatkan dana zakat dan membantu lebih ramai asnaf memerlukan.
“Antara bentuk kerjasama yang kita akan laksanakan pada tahun ini adalah kesinambungan kolaborasi tahun sebelum antaranya Kempen Semarak Zakat 2024 dan Program Pakej Istimewa Pelanggan Mewah RHB 2024.
“Melalui Kempen Semarak Zakat khusus buat Kumpulan RHB berjaya meningkatkan jumlah potongan gaji dalam kalangan kakitangan RHB. Daripada rekod jumlah potongan gaji zakat bagi RHB Islamic pada tahun adalah 2023 sebanyak RM257,000.
“Melalui kerjasama ini juga, PPZ-MAIWP turut menawarkan Skim Wakalah Majikan atau Dasar Pengembalian Semula Wang Zakat sebanyak 37.5 peratus oleh pihak MAIWP sekiranya keseluruhan
kakitangan RHB Islamic yang membuat potongan gaji zakat mencapai 80 peratus,” katanya.
Katanya, pihaknya juga akan meneruskan kesinambungan kerjasama melalui Kempen Pelanggan Mewah (Affluent Customer) RHB iaitu satu nilai tambah servis zakat kepada pelanggan RHB Premier yang membuat bayaran zakat RM25,000 dan ke atas. – KOSMO! ONLINE