fbpx

Mahkamah setuju tambah nama ibu sebagai penjaga anak – Shuhada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MESKI kecewa Hafidz tidak hadir, Shuhada bersyukur permohonannya untuk tambah nama ibu sebagai penjaga dua anaknya diluluskan mahkamah.

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini meluluskan permohonan bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada bagi kes penambahan pihak iaitu ibunya, Wan Latipah Yusof sebagai responden kedua bagi tuntutan interim hadanah dan induk hadanah.

Menurut pemilik nama penuh Nurul Shuhada Mat Shukri itu, dia bersyukur permohonannya untuk meletakkan nama ibu sebagai penjaga bagi dua anaknya iaitu Humairah dan Umar diluluskan pihak mahkamah.

Dia bagaimanapun menzahirkan rasa kecewa kerana Hafidz selaku plaintif tidak hadir ke mahkamah bagi menyelesaikan isu tuntutan hadanah hari ini.

“Alhamdulillah permohonan diterima. Saya cuma nak hak untuk anak-anak. Kalau boleh nak mereka gembira dan hidup mudah.

“Kes ini sudah berlarutan sangat panjang, hampir setahun lebih turun naik mahkamah.

“Kalau boleh, saya harapkan kerjasama daripada pihaknya (hafiz) untuk hadir. Hendak bicara pun memang dia perlu hadir,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah Shuhada, dia berharap Hafidz dapat menghadiri sebutan kes pada Mei depan bagi menyelesaikan kemelut berhubung tuntutan hak penjagaan anak yang difailkan bekas suaminya itu tahun lalu.

“Saya dari jauh (Perlis) boleh datang ke sini, dia yang tinggal berhampiran pula tidak hadir. Kenapa?

“Berilah kerjasama sebab dia yang failkan tuntutan ini. Janganlah usaha ini sekerat jalan sahaja,” katanya lagi.

Sementara itu, Peguam Syarie Nurfarhana Abd Manaf mewakili Shuhada selaku defendan memberitahu, sebutan baharu kes itu ditetapkan pada 28 Mei depan.

“Hari ini mahkamah sudah benarkan dan luluskan untuk tambah nama ibu Shuhada sebagai penjaga dua anaknya bagi interim hadanah dan induk hadanah,” ujarnya.

Terdahulu, pada 31 Oktober tahun lalu Shuhada memfailkan permohonan kepada pihak mahkamah untuk meletakkan ibunya sebagai pihak tambahan dalam tuntutan hak penjagaan anak.

Untuk rekod, Hafidz atau dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 sebelum disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, 27 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI