fbpx

Pantai Gaza jadi idaman peneroka haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar dari udara menunjukkan kawasan pantai di Bandar Gaza pada 17 Ogos 2022. - AFP

TEL AVIV – Satu temu bual eksklusif yang dijalankan oleh wartawan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) mendedahkan pelan yang dirancang oleh peneroka haram Yahudi untuk menghuni Semenanjung Gaza terutamanya di kawasan tepi pantai.

Ketua organisasi peneroka radikal digelar Nachala, Daniella Weiss berkata, dia mempunyai senarai 500 keluarga yang bersedia untuk berpindah ke Gaza pada bila-bila masa.

“Saya mempunyai beberapa rakan di Tel Aviv yang meminta supaya saya menyimpan sebahagian plot tanah di pantai Gaza untuk mereka. Kawasan di situ amat cantik dan ia mempunyai pasir berwarna keemasan.

“Namun, saya memberitahu mereka bahawa kawasan tersebut sudah penuh ditempah,” katanya kepada BBC.

Selama berdekad-dekad, Weiss memain peranan signifikan dalam memulakan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang diduduki Israel dan Baitulmuqaddis Timur. Ia merupakan tanah Palestin yang ditawan Israel dalam perang Asia Barat 1967.

Dia turut menunjukkan peta Tebing Barat kepada wartawan BBC, yang mempunyai titik berwarna merah jambu bagi menandakan kawasan pendudukan Yahudi.

Titik-titik tersebut berada di seluruh peta tersebut, mengatasi kawasan dihuni penduduk Palestin.

Terdapat kira-kira 700,000 peneroka Yahudi di wilayah itu ketika ini dengan bilangan tersebut meningkat pantas.

Sebilangan besar masyarakat antarabangsa menganggap ia penempatan haram di bawah undang-undang antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

“Orang Arab Gaza tidak akan kekal di Semenanjung Gaza. Siapa yang akan tinggal di situ? Yahudi,” kata Weiss.

“Dunia ini luas. Afrika (benua) besar, Kanada juga besar. Dunia akan menerima penduduk Gaza,” ujarnya lagi.

Pendedahan tersebut menguatkan lagi beberapa laporan sebelum ini mengenai matlamat perang Israel yang mahu melaksanakan penghapusan etnik ke atas penduduk Palestin di Gaza, dan bukannya perang ke atas Hamas semata-mata.

Perang yang tercetus sejak 7 Oktober tahun lalu telah menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dengan ada antaranya yang musnah akibat dibom askar Rejim Zionis.

Sebanyak 60 peratus daripada  infrastruktur enklaf itu telah rosak atau musnah, demikian menurut PBB, di tengah-tengah krisis kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan akibat sekatan Israel. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI