NASHVILLE, TENNESSEE – Seorang lelaki di negeri Tennessee menghidap gangguan neurologi menyebabkan dia melihat wajah orang lain dalam keadaan herot dan menyeringai, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.
Victor Sharrah, 59, mula mengalami penyakit ganjil dinamakan prosopometamorphopsia (PMO) itu pada November 2020 apabila dia melihat semua orang di sekelilingnya memiliki wajah herot dan menakutkan.
“Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ketika itu adalah saya mungkin berada dalam dunia syaitan. Ia amat menakutkan,” katanya.
PMO adalah gangguan yang sangat jarang berlaku dengan hanya 75 kes direkodkan setakat ini.
Disebabkan itu, doktor tidak mempunyai banyak pengetahuan mengenainya dan ia sering didiagnosis sebagai keadaan psikiatri.
Tiada siapa tahu punca PMO, namun penyelidik percaya dalam kes Sharrah, keadaan itu mungkin disebabkan oleh kecederaan pada kepala yang dialaminya ketika berusia 43 tahun. – AGENSI