TAPAH – Sebuah cawangan KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor di sini dilempar dengan molotov cocktail (bom petrol) oleh seorang lelaki kira-kira pukul 5.34 pagi hari ini.
Menurut pekerja KK Mart tersebut, R. Puspalatha, 23, kejadian itu disedari oleh rakan sekerjanya yang melihat sebuah kereta berhenti di hadapan pasar raya berkenaan.
Katanya, sejurus kereta itu berhenti, seorang lelaki dilihat keluar dari tempat duduk penumpang hadapan dan membaling botol sedang terbakar ke arah pasar raya berkenaan.
“Bagaimanapun, tiada letupan yang berlaku dan hanya botol itu yang masuk ke dalam pasar raya ini dan ia sudah tidak terbakar.
“Pekerja yang menyedari perkara itu terus memaklumkan kepada kedai berhampiran dan mereka melaporkan kepada pihak polis,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, rakaman televisyen liter tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki mencampakkan objek yang sedang terbakar dipercayai molotov cocktail ke arah pasar raya tersebut.
Api yang terdapat di botol berkenaan dilihat terpadam dengan hanya botol tersebut berjaya dilempar lelaki tersebut, yang kemudiannya melarikan diri dengan sebuah kereta.
Puspalatha berkata, ketika kejadian hanya ada dua pekerja di pasar raya tersebut dengan orang ramai masih belum kelihatan di kawasan sekitar ekoran masih awal pagi. – KOSMO! ONLINE.