JERANTUT – Seorang peneroka di Felda Kota Gelanggi Empat di sini merayu bantuan selepas tidak mampu bergerak kerana terlantar apabila kaki kirinya dipotong sebanyak tiga kali akibat penyakit kencing manis.
Mohd. Mohyi Mohd. Junid, 68, berkata, kakinya dipotong akibat jangkitan kuman bermula dari paras betis pada Januari hingga ke pangkal paha dua bulan kemudian di Hospital Sultan Ahmad Shah di Temerloh.
Katanya, kakinya dipotong apabila penyakit kencing manis yang dialami sejak 2014 makin parah.
“Pembedahan terpaksa dilakukan tiga kali bagi mengelakkan jangkitan lebih parah. Saya bersyukur apabila pembedahan kali ketiga cepat sembuh dan dibenarkan pulang, namun perlu jalani rawatan berkala.
“Ekoran itu, saya tidak mampu bergerak dan hanya terlantar. Kini saya amat terbeban untuk tampung kos sara hidup dan hanya dapat RM500 sebulan hasil daripada program tanaman semula sawit,” kata bapa kepada dua anak itu.
Menurut Mohd. Mohyi, sebahagian sawit tidak lagi mengeluarkan hasil menyebabkan dia sekeluarga kekurangan pendapatan untuk belanja dapur.
Tambahnya, kekurangan belanja makin tenat pada bulan Ramadan dan bakal menyambut Aidilfitri seadanya kerana kesempitan hidup.
“Saya tidak mampu bekerja untuk membiayai kos keperluan dapur, bil dan rawatan susulan di hospital yang melibatkan perbelanjaan RM2,500 sebulan,” katanya.
Ujar Mohd. Mohyi, dia terpaksa dipapah isteri dan anaknya jika mahu ke tandas dan bilik air kerana pergerakannya terbatas ekoran turut menghidap strok ringan.
“Saya berharap kerajaan dan dermawan dapat memberikan sumbangan katil hospital, tongkat dan kaki palsu supaya memudahkan pergerakan saya,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi Mohd. Mohyi di talian 019-927 5344 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 1620 4910 0177.