PETALING JAYA – Seorang peniaga air di Kota Bharu, Kelantan meluahkan kekecewaan apabila terpaksa berhenti berniaga kerana kehabisan modal kerana gagal mendapatkan pelanggan.
Menerusi perkongsian di Facebook Muhammad Ridzuan, lelaki itu berkata, biarpun baru dua hari berniaga, namun dia terpaksa membuat keputusan berat itu bagi mengelakkan daripada kerugian besar.
“Modal RM120 hanya dapat RM3 sahaja. Hari ini (semalam) modal RM65. Sejak buka, seorang pun tidak datang lagi.
“Hari ini (semalam) hari terakhir berniaga air. Habis modal. Sekadar luahan hati, bukan mengeluh,” katanya semalam.
Muhammad Ridzuan berkata, dia gagal mendapatkan pelanggan meskipun sudah menurunkan harga yang mana lebih murah berbanding peniaga lain.
“Air banyak, jual murah orang (pelanggan) tidak datang juga. Jual mahal pun tak datang juga. Bagi percuma sahaja orang ambil. Kalau ada sesiapa nak belanja orang berbuka puasa, ada 33 bungkus lagi. RM4 sebungkus,” ujarnya.
Rata-rata pengguna media sosial berpandangan bahawa keadaan tersebut turut berlaku kepada peniaga lain terutama di bazar Ramadan.
“Semalam ronda bazar Ramadan dalam pukul 6 petang, tengok ada peniaga lauk, senduk macam tidak disentuh bersih dalam bekas masakan,” kata Zul.
“Saya meniaga pun sama juga bang. Modal RM100 lebih sehari, tapi jualan dapat RM10, kadang-kadang tiada langsung. Sehari dua ini saya pun berhenti dulu (sementara) sebab modal dah kering,” ujar Asyraf Zamri.
“Bazar Ramadan tahun ini ramai peniaga termenung. Pukul 6.40 petang barang jualan masih penuh atas meja,” ujar Mohd. – KOSMO! ONLINE