LOS ANGELES, CALIFORNIA – Jet peribadi milik penyanyi rap popular, P. Diddy dikesan mendarat di Antigua iaitu sebuah pulau di Caribbean dalam negara Antigua and Barbuda, lapor akhbar Daily Mirror semalam.
Ia berlaku selepas pihak berkuasa menyerbu rumah Diddy atau nama sebenarnya, Sean Love Combs di Los Angeles dan Miami pagi semalam.
Pegawai penguat kuasa undang-undang termasuk Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, tiba di rumah penyanyi itu dengan lengkap bersenjata.
Mereka menahan beberapa individu termasuk dua anak lelaki Diddy. Dia bagaimanapun tidak berada di rumahnya ketika serbuan dilakukan.
Namun, berdasarkan aktiviti penerbangan yang dipantau oleh Daily Mirror, jet Diddy dikesan tiba di Lapangan Terbang Van Nuys, Los Angeles, sekitar pukul 8 malam (waktu tempatan) kelmarin.
Ia kemudian berlepas kira-kira pukul 9 pagi (waktu tempatan) semalam dan menuju ke Antigua sebelum mendarat pada pukul 3:22 petang (waktu tempatan).
Penerbangan yang berdaftar dengan Loveair LLC itu dilaporkan dihentikan sementara buat masa ini. Tiada maklumat jelas mengenai sama ada Diddy berada dalam jet tersebut.
Seorang wakil Jabatan Keselamatan Dalam Negeri berkata dalam satu kenyataan kepada Daily Mirror: “Awal hari ini (semalam), Penyiasatan Keselamatan Dalam Negeri (HSI) New York melaksanakan tindakan penguatkuasaan undang-undang sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan, dengan bantuan HSI Los Angeles, HSI Miami, dan rakan kongsi penguat kuasa tempataan. Kami akan memberikan maklumat lanjut jika ada.”
Menurut beberapa laporan media, serbuan itu berkaitan dengan kegiatan pemerdagangan seks yang didakwa melibatkan Diddy.
Ia berlaku selepas beberapa kes serangan seksual difailkan terhadap Diddy lewat tahun lalu dengan satu lagi kes difailkan pada awal tahun ini.
Penyanyi itu bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan terbabit. – AGENSI