PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan cuaca buruk dengan amaran hujan lebat, ribut petir, dan angin kencang di beberapa kawasan di utara Semenanjung sehingga pukul 6 petang hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya, cuaca buruk tersebut dijangka berlaku di beberapa kawasan tiga negeri utara iaitu Kedah (Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu) Pulau Pinang, dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk dan Hilir Perak).
” Walaup bagaimanapun, cuaca buruk yang sama dijangka tertumpu di bahagian selatan Semenanjung yang melibatkan Batu Pahat dan Pontian, Johor.
“Ribut petir di sebelah petang ini dijangka akan berlaku selama tempoh satu hingga dua jam dan akan beransur reda sebelum menjelang malam,” ujar MetMalaysia.
Sementara itu, di Sarawak pula ribut petir di satu dua tempat yang tertumpu di Sri Aman (Sri Aman), Sarikei (Pakan, Julau dan Meradong), Sibu (Sibu), Mukah (Matu dan Dalat) dan Kapit (Song).
Dalam pada itu, amaran cuaca panas tahap dua iaitu amaran gelombang haba, masih lagi kekal di negeri Perlis dengan suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius sehingga 40 darjah Celsius.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE