NEW DELHI – Satu rakaman video jarang didapati yang menunjukkan seekor harimau melompat menyeberangi anak sungai menjadi tular dalam kalangan netizen India, lapor laman berita Wion News semalam.
Rakaman video itu dimuat naik oleh pegawai Perkhidmatan Akaun Kereta Api India (IRAS), Anath Rupanagundi di platform X. Menurutnya, harimau itu dirakam melompat sejauh 6 meter (20 kaki).
Ia bermula dengan seekor harimau berjalan ke arah sebatang anak sungai di Taman Negara Sudarban, Benggala Barat.
Tidak lama kemudian, harimau tersebut membuat lompatan dan berjaya mendarat di seberang sungai.
Klip video itu menerima pelbagai komen dan reaksi netizen.
“Wow, saya tidak pernah melihat kejadian seperti ini. Ini luar biasa,” kata seorang pengguna laman sosial X.
“Bayangkan kekuatan yang diperlukan pada kakinya untuk menolak haiwan seberat 150-200 kilogram ini ke seberang sungai,” kata netizen lain. – Agensi