LONDON – Bintang Portugal, Joao Cancelo mula melancarkan ‘perang’ ke atas pengurus Manchester City, Pep Guardiola dengan melabelnya sebagai penipu dan menuduh kelab itu langsung tidak menghargai sumbangannya.
Walaupun masih memiliki kontrak dengan City dan hanya dipinjamkan ke Barcelona, Cancelo tidak dapat menahan marah apabila ada laporan memetik Guardiola sebagai berkata bahawa dia tidak gembira menyarung jersi The Citizens kerana jarang mendapat minit permainan.
“Pembohongan! Saya tidak pernah menjadi rakan sepasukan yang teruk dan anda boleh tanya kepada Nathan Ake atau Rico Lewis. Itu hanyalah pendapat pengurus.
“Saya fikir jika itu yang mereka katakan, maka jelas City tidak berterima kasih kepada saya. Ini kerana saya adalah pemain penting sejak bertahun-tahun saya berada di sana dan tidak pernah gagal memberikan komitmen kepada pasukan.
“Saya sentiasa beri segala-galanya dan saya masih ingat sehari selepas insiden ‘pecah rumah’, saya tetap turun beraksi menentang Arsenal di Emirates. Semua ini tidak pernah saya lupakan hingga terpaksa meninggalkan isteri dan anak perempuan saya ketakutan di rumah,” katanya.
Cancelo menegaskan dia sudah membuat keputusan tepat untuk keluar daripada City secara pinjaman pada Januari lalu walaupun terpaksa melupakan kejuaraan treble.
“Ada beberapa perkara yang menentukan penghijrahan saya ke Bayern Munich secara pinjaman dan saya tidak pernah menyesal, malah merasakan ia adalah keputusan tepat,” ujarnya.
Sebaik khidmatnya di Jerman berakhir, Cancelo mengambil keputusan menyertai Barcelona, juga secara pinjaman. – AGENSI