KEMENANGAN ke atas Oman pada aksi timbal balik kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini hanya dapat dilunaskan sekiranya Harimau Malaya mampu tampil lebih seimbang di setiap posisi.
Walaupun benteng pertahanan dijangka menjadi posisi paling kritikal untuk mengekang serangan Oman, kapten negara, Dion Cools merasakan semua pemain harus melaksanakan tanggungjawab masing-masing mengikut taktikal jurulatih.
“Mereka (Oman) mempunyai pemain berkualiti dan sebagai satu unit mereka adalah pasukan yang bagus. Jadi, kami kena berada pada tahap terbaik untuk membolehkan pasukan beraksi dengan lebih baik.
“Sebagai pemain pertahanan, saya mahu lakukan tugas ini dengan lebih baik dan mahu tamatkan perlawanan kali ini tanpa bolos. Secara dasarnya kami mahu lakukan lebih banyak serangan dan mencipta peluang.
“Jadi, daripada situ, saya juga harap barisan pertahanan kekal fokus untuk tampil kukuh di barisan belakang,” katanya.
Pada aksi pertama di Muscat, Jumaat lalu, Oman dilihat berjaya memanfaatkan kelekaan barisan pertahanan negara hingga memperoleh dua gol penting untuk mengesahkan kemenangan 2-0.