LONDON – Pengendali England, Gareth Southgate tetap berpuas hati dan memuji aksi yang disifatkan sangat baik oleh pasukannya biarpun tewas 0-1 berdepan Brazil pada perlawanan persahabatan di Stadium Wembley awal pagi semalam.
Keputusan itu merupakan kekalahan pertama dialami The Three Lions selepas kempen Piala Dunia 2022 di Qatar sebelum ini dan ia mungkin berpunca daripada ketumpulan jentera serangan serta aksi goyah benteng pertahanan.
Brazil berjaya meledak jaringan menerusi pemain mudanya, Endrick, 17, yang membuat debut bersama pasukan kebangsaan apabila memecah kebuntuan menerusi gol pada minit ke-80 selepas masuk sebagai pemain gantian.
Kekalahan kali ini dianggap tamparan hebat buat Southgate yang hanya mempunyai satu sahaja lagi aksi iaitu menentang Belgium sebelum menamakan skuadnya untuk menghadapi saingan Euro 2024 di Jerman Jun nanti.
“Saya lihat banyak aksi yang baik dalam perlawanan ini. Ia adalah permainan pada tahap tertinggi dan kami berjaya mengawal sebahagiannya. Kami juga memiliki banyak percubaan ke arah gol mereka, namun pada akhirnya nasib tidak memihak kepada kami.
“Kami memiliki ramai pemain baik, sebahagiannya membuat debut dan kebanyakannya adalah pemain tonggak yang penting buat pasukan ini,” katanya.
Pemain tengah Newcastle United, Anthony Gordon, tonggak pertahanan Aston Villa, Ezri Konsa serta pemain sedang meningkat naik Manchester United, Kobbie Mainoo membuat penampilan pertama mereka dalam skuad kebangsaan.
Pada perlawanan tersebut, England turun tanpa beberapa pemain utama mereka termasuk ketua pasukan Harry Kane yang mengalami kecederaan buku lali selain pemain sayap lincah mereka, Bukayo Saka juga tersisih.
Ketiadaan Kane menyebabkan Southgate memilih untuk memberikan tanggungjawab kepada Ollie Watkins untuk mengetuai jentera serangan biarpun turut memiliki Ivan Toney di bangku simpanan.
Bagaimanapun, Watkins tidak berjaya memberikan impak dan persembahan meyakinkan untuk dia dianggap sebagai penggempur kedua terbaik yang dimiliki England sekiranya Kane mengalami masalah di Euro nanti.
Awal pagi Rabu nanti menyaksikan England turun menentang Belgium di gelanggang yang sama dan menjadi detika penting buat Southgate untuk menilai kemampuan keseluruhan pemain untuk di bawa ke saingan Euro nanti.
“Saya tidak menilai berdasarkan persembahan semata-mata. Sejujurnya, saya tidak sukakan kekalahan, tetapi saya fikir pasukan ini memiliki kualiti kerana para pemain sentiasa berusaha keras untuk kekal dalam skuad kebangsaan,” jelas Southgate. – AGENSI