fbpx

Serangan di Moscow: Putin, Zelenskyy saling tuding jari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video yang disiarkan oleh Jawatankuasa Penyiasatan Russia kelmarin menunjukkan anggota penyelamat bekerja di dalam Dewan Bandar Raya Crocus sehari selepas serangan di Krasnogorsk. - AFP

MOSCOW – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menuduh seterunya dari Russia, Vladimir Putin sebagai cuba meletakkan kesalahan ke atas Kiev bagi serangan pengganas di sebuah dewan konsert di Moscow yang telah membunuh 133 orang.

“Apa yang berlaku di Moscow amat jelas. Putin dan sekutunya hanya tahu meletakkan kesalahan kepada pihak lain. Mereka mempunyai cara yang sama,” kata Zelenskyy.

Komen itu dikeluarkan selepas Putin berkata bahawa empat suspek penyerang cuba melarikan diri ke Ukraine ketika mereka ditahan.

“Berdasarkan data awal perisikan Russia, kesemua suspek melarikan diri ke arah Ukraine,” katanya menerusi ucapan yang disiarkan di stesen televisyen tempatan kelmarin.

Kiev kemudian bertindak balas terhadap komen Presiden Russia itu berhubung insiden yang berlaku lebih dua tahun selepas Moscow melancarkan perang ke atas Ukraine.

Putin mengumumkan semalam sebagai hari berkabung di seluruh Russia berikutan insiden tembakan di Dewan Bandaraya Crocus di Krasnogorsk, pinggir bandar Moscow pada malam Jumaat lalu.

Dalam kejadian tersebut, sekumpulan penyerang memakai seragam kamoflaj memasuki bangunan itu sebelum melepaskan tembakan dan membaling sebutir bom tangan atau bom api, demikian menurut seorang wartawan agensi berita RIA Novosti yang berada di tempat kejadian.

Api pantas merebak di dalam dewan tersebut dengan asap memenuhi bangunan ketika pengunjung bergegas ke pintu keluar kecemasan, menyebabkan berlakunya rempuhan.

“Saya sedar bunyi yang didengari adalah bunyi tembakan senjata automatik dan ia adalah serangan pengganas,” kata penerbit muzik dikenali sebagai Alexei sambil menambah, ketika kejadian, dia baru sahaja duduk di kerusinya menjelang permulaan konsert rock. 

Kumpulan pengganas Daesh kemudian mengaku bertanggungjawab dalam serangan tersebut menerusi hantaran di aplikasi Telegram kelmarin.

Menurutnya, serangan berkenaan dilakukan oleh anggotanya yang lengkap dengan mesingan, pistol, pisau dan bom api.

Bagaimanapun, Putin  ketika ucapannya langsung tidak menyentuh mengenai kumpulan itu.

“Pengganas, pembunuh dan mereka yang tidak berperikemanusiaan ini hanya mempunyai satu nasib iaitu pembalasan dan dilupakan,” kata Putin sambil menggelar serangan tersebut sebagai tindakan biadab dan pengganas.

Sementara itu, Jawatankuasa Penyiasatan Russia berkata, jumlah kematian setakat petang semalam mencecah 133, manakala Gabenor Wilayah Moscow memaklumkan, penyelamat akan terus meninjau lokasi kejadian selama beberapa hari.

“Kira-kira 107 orang masih berada di hospital, kebanyakannya dalam keadaan kritikal,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tatyana Golikova kelmarin.

Kementerian Situasi Kecemasan semalam memuat naik video yang memaparkan jentera berat tiba di lokasi dewan untuk membongkar struktur yang rosak dan membersihkan serpihan.

Dalam masa sama, televisyen Russia turut menyiarkan rakaman anggota perkhidmatan keselamatan menyoal siasat empat suspek lelaki yang bercakap bahasa Russia dengan loghat asing.

Mereka ditangkap di wilayah Bryansk barat, yang bersempadan dengan Ukraine dan Belarus. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI