SETIU – Penduduk Merang gempar dengan penemuan rangka manusia tanpa kepala dan tangan yang terdampar di Pantai Merang pada Khamis lalu.
Rangka manusia yang tidak diketahui identitinya tersebut ditemui seorang penduduk yang kebetulan melalui kawasan pantai itu pada pukul 9.24 pagi.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Afandi Hussin berkata, rangka tanpa kepala dan tangan berkenaan dijumpai tanpa berbaju dan hanya berseluar pendek berwarna gelap.
“Rangka itu ditemui pada kedudukan 36.58 meter dari gigi air dipercayai dibawa ombak. Pemeriksaan tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa,” katanya di sini hari ini.
Afandi berkata, rangka manusia terbabit telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat. – KOSMO! ONLINE