PETALING JAYA – Akibat membenarkan sebanyak 2,540 naskah al-Quran dijilidkan oleh kilang milik bukan Islam, seorang pengurus sebuah syarikat percetakan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nur Nastasha Mohtarudin mengenakan hukuman denda itu selepas Idora Abdul Rashid, 42, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Sekiranya OKS gagal membayar jumlah denda, wanita itu boleh dipenjara enam bulan dan OKS membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Idora didapati tidak mematuhi syarat lesen yang dikeluarkan oleh Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Percetakan al-Quran (LPPPQ) Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu dengan membenarkan naskah kitab suci itu dijilidkan oleh sebuah kilang milik bukan Islam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kilang, Taman Perindustrian Bukit Serdang di sini pukul 3 petang pada 5 September 2023.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut 5(7) Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 dan boleh dihukum dibawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.
Terdahulu Pegawai Pendakwa Mohd. Amin Azhar Qairil Yusoff dari KDN Selangor memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap OKS.
Bagaimanapun OKS yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan selain merupakan kesalahan pertama pada pertuduhan hari ini.
Mengikut fakta kes, pada 5 September tahun lalu, pihak berkuasa telah membuat rampasan melibatkan 2,540 naskah al-Quran kerana didapati pencetakannya tidak mematuhi syarat lesen.
Ia yang mana syarat lesen itu dikeluarkan LPPPQ KDN iaitu dengan membenarkan naskah kitab itu dijilidkan oleh syarikat milik bukan Islam. – KOSMO! ONLINE