RANTAU PANJANG – Rata-rata pengemis di bazar Ramadan dan tempat awam di negeri ini mampu meraih pendapatan sehingga lima angka sepanjang bulan puasa.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup berkata, sikap pemurah rakyat di negeri ini memberi peluang kepada golongan itu untuk mengemis pada bulan yang mulia ini.
Menurutnya, pemeriksaan JKM mendapati ada pengemis yang memperoleh wang lebih RM300 sehari.
“Golongan ini suka ambil kesempatan dengan meraih simpati pada bulan Ramadan kerana masyarakat berlumba-lumba mahu mengejar pahala.
“Bilangan pengemis sama ada orang tempatan atau asing terutama dari Thailand juga meningkat setiap kali bulan Ramadan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Pasca Banjir Sempena Program Kembali Ke Sekolah 2024 dengan kerjasama Yayasan Sime Darby di Sekolah Kebangsaan Rahmat, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Said memberitahu, pihaknya pernah menjumpai wang RM736 hasil mengemis dalam Operasi Mengambil Orang Papa pada minggu lalu.
Menurutnya, melalui operasi itu, JKM Kelantan mendapati ada warga tempatan yang sihat tubuh badan sanggup berlakon bagi meraih simpati.
“Bersedekah sepanjang Ramadan merupakan amalan baik, namun tindakan memberikan wang kepada pengemis dibimbangi akan menggalakkan mereka meneruskan kegiatan itu.
“Justeru, pengemis tempatan yang ditahan secara berulang kali akan dihantar ke desa bina diri untuk pemulihan agar tidak terlibat dengan kegiatan sama pada masa akan datang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE