fbpx

Mudah maaf, penguatkuasaan lemah punca Islam dihina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Stoking tertera kalimah Allah tular dijual di sebuah premis terkenal baru-baru ini.

BEBERAPA minggu lalu, kita dikejutkan dengan isu segelintir pihak secara terang-terangan menghina pencipta kita, Allah S.W.T.

Penghinaan menerusi cetakan tulis pada stoking itu jelas memperlihatkan bahawa ada usaha daripada segelintir pihak yang cuba ‘mengejutkan’ orang Islam.

Bagi penulis, isu ini tidak boleh dipandang remeh dan hanya diselesaikan dengan permohonan maaf kerana ia bukan sahaja melukakan diri saya, tetapi seluruh umat Islam.

Isu ini bukan pertama kali berlaku, malah sebelum ini sudah banyak siri penghinaan seperti ini terjadi sehingga masjid yang menjadi rumah ibadat orang Islam turut dikacau ganggu.

Jika diamati, keberanian sesetengah pihak ini terjadi kerana lemahnya penguatkuasaan undang-undang serta sikap orang kita yang mudah memaafkan dan melupakan perkara yang jelas menghina agama kita sendiri.

Sekiranya undang-undang diperketatkan seperti menjatuhkan hukuman gantung sampai mati atau melucutkan hak kerakyatan ke atas pesalah seperti ini, pastinya tidak akan ada yang berani menyentuh isu seperti 3R (agama, bangsa dan raja).

Penulis juga menyokong pendirian Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar sebelum ini yang mahu pihak berkenaan dikenakan hukuman setimpal.

Menurut Mohd. Na’im, permohonan maaf sahaja bukan jalan penyelesaian berkaitan isu terbabit.

“Budaya kita memang digalakkan untuk memohon maaf, tetapi kita tidak mahu setiap kali jadi isu seperti ini (stoking kalimah Allah), kita hanya minta maaf.

“Perkara seperti itu perlu menjadi pengajaran kepada pihak KK Mart, vendor (pembekal) supaya lebih berhati-hati melibatkan isu 3R,” katanya.

Tegas beliau, isu itu bukan boleh diremehkan tetapi ia perkara yang serius kerana telah menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia lebih-lebih ia berlaku pada bulan Ramadan.

“Ada yang kata kita tidak boleh terlalu sensitif dengan isu ini. Tidak boleh sebab Allah itu satu kalimah yang sangat tinggi di mata orang Islam dan meletakkan Allah itu di kaki adalah satu penghinaan yang tidak boleh diremehkan,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong. Sultan Ibrahim juga turut murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu itu.

Seri Paduka Baginda mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

“Kalimah Allah itu dipandang sangat tinggi pada sanubari umat Islam, tambahan pula kita berada di bulan Ramadan. Tidak patutlah timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.

“Saya baru sahaja menegur dan mengingatkan akan kepentingan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain dalam titah sulung saya di Parlimen, timbul pula perkara ini.

“Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguat kuasa siasat dan ambil tindakan mengikut undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,” titah Seri Paduka Baginda.

Bagi penulis, isu ini tidak boleh dipandang remeh lagi, kerana ia bukan sekali berlaku, malah sudah berkali-kali agama kita dihina dan ‘diletakkan di kaki”.

Bukan mahu jadi batu api, tetapi sekiranya kita terus berdiam dan menerima permohonan maaf, pasti perkara ini akan berulang dan kita akan terus ‘dipijak’ pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI