MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola dilaporkan percaya kedatangan Kylian Mbappe ke Real Madrid membuka peluang kepada pasukannya untuk mendapatkan khidmat Rodrygo.
Guardiola ketika ini mempunyai beberapa penyerang terbaik dunia di Etihad termasuk penggempur utamanya Erling Haaland, Phil Foden dan Julian Alvarez.
Haaland berjaya meledak 36 gol pada aksi Liga Perdana Inggeris musim lalu, manakala Foden dilihat sebagai pemain paling berprestasi untuk pasukan itu musim ini, sementara Alvarez telah membuktikan dirinya sebagai aset yang sangat berguna musim ini.
Alvarez berjaya menjaringkan 16 gol musim ini dengan 12 umpanan jaringan dan merupakan salah satu aset serangan paling berkesan di City, namun Guardiola nampaknya bersedia untuk melepaskannya demi mendapatkan bintang Madrid tersebut.
Menurut laporan, Guardiola bersedia untuk menawarkan Alvarez yang sebelum ini berjaya menarik minat Real, namun dengan syarat gergasi La Liga tersebut perlu membuat pertukaran dengan melepaskan Rodrygo ke Etihad.
Bagaimanapun, menurut laporan lain, Real mungkin tidak akan bersetuju dengan cadangan Guardiola itu kerana mereka menganggap Rodrygo sebagai aset yang cukup penting, namun segalanya masih boleh berubah pada jendela perpindahan nanti. – AGENSI