fbpx

Kelantan beri jaminan masalah air selesai 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Izani (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan Ramadan ECRL kepada wakil Madrasah Tahfizul Quran Lilbanat Darul Atiq pada Majlis Berbuka Puasa Bersama ECRL di sebuah hotel di Kota Bharu semalam. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan memberi jaminan masalah air yang membelenggu penduduk di negeri ini sejak hampir 30 tahun lalu akan selesai sepenuhnya pada 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr. Izani Husin berkata, hasrat itu mampu direalisasikan apabila semua loji air yang sedang dinaik taraf dan dibina baharu akan siap sepenuhbta pada tahun tersebut.

“Insya-Allah, Kelantan akan mempunyai lebih bekalan air pada tahun 2028 nanti.

“Jadi, saya mohon kepada rakyat supaya bersabar. Masalah itu (air) akan selesai sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Berbuka Puasa Bersama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sebuah hotel di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Mengulas lanjut, Izani memberitahu,kerajaan negeri ketika ini sedang merancang untuk melaksanakan kerja-kerja penukaran paip lama yang uzur sejauh 5,000 kilometer (km) secara berkala.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 1,000 km paip perlu ditukar dengan kadar segera.

“Setakat ini, kita hanya berupaya melakukan kerja-kerja menukar paip pada jarak 150 km sahaja dalam tempoh setahun.

“Melalui perancangan terbaharu, kerajaan negeri akan berbincang dengan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam meningkatkan keupayaan dalam kerja-kerja menukar paip-paip air tersebut,” ujarnya.

Izani berkata, kerajaan negeri akan mengemukakan kertas kerja kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mempercepatkan mengenai penukaran paip-paip.

Menurutnya, kerja-kerja menukar paip sejauh 100 km dapat ditingkatkan kepada 250 km setahun jika lebih ramai kontraktor dilantik.

“Bagaimanapun, permohonan peruntukan untuk kerja-kerja menukar paip-paip itu akan dibuat mengikut kemampuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI