IPOH – Perdana Menteri mahu orang Melayu bercakap soal perkara-perkara yang lebih besar, bukan hanya menumpukan isu perbezaan pendapat untuk tempoh lama.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masyarakat terutamanya orang Melayu perlu bercakap tentang isu semasa seperti penguasaan kecerdasan buatan (AI), digital dan tenaga yang kini menjadi persaingan global.
Katanya, isu stoking yang menjadi perhatian negara sejak dua minggu lalu akan diuruskan oleh pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
“Kalau kes stoking saya beritahu tadi, siasat, kalau betul salah, tangkap dan dakwa. Tutup buku, maju terus. Jangan sampai berminggu-minggu, semua hendak jadi pahlawan, kerja tak jalan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Perak 2024 Bersama Perdana Menteri, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE