fbpx

Hana Medic aktif tembusi pasaran antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norayati menunjukkan sebahagian daripada produk keluaran syarikat di kilangnya di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Faktor usia tidak menghalang seorang usahawan untuk mengemudikan empayar perniagaannya, Hana Medic Sdn. Bhd. beribu pejabat di Nilai, Negeri Sembilan sejak 2006 itu berada dalam landasan yang kukuh untuk menjadi pemain dalam pengeluaran produk disinfeksi dan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi.

Pengasas syarikat, Prof Dr. Norayati Abd. Majid, 72, yang memiliki pengalaman luas lebih 30 tahun dalam bidang kawalan penyakit berjangkit serta pernah terlibat sebagai salah seorang barisan hadapan ketika negara diancam wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2003 itu kini berjaya menguasai pasaran domestik dan melangkaui ke pasaran antarabangsa.

Bagaimanapun, melihat kepada faktor kenaikan kos bahan mentah dan penyusutan nilai ringgit, syarikat kini merangka strategi untuk melebarkan penguasaan pasaran globalnya hingga ke Eropah.

Sebelum itu, pasaran syarikat telah bertapak kukuh melalui jualan produk sulungnya JustGreat minuman kesihatan yang dibangunkan bersama Mardi ke Kuwait, selain Oman dan Macau.
Kini, beliau aktif untuk membuat permohonan mendapatkan piawaian CE Marking untuk menembusi pasaran Eropah dan menjangkakan ia mengambil masa dua tahun.

“Produk kami telah mendapat sambutan baik di pasaran luar negara, mereka menunggu kami mendapat CE Marking,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh jelaskan tentang perkembangan produk terbaharu syarikat tahun ini dan akan datang?
Norayati: Kami sekarang ada 62 produk meliputi tiga segmen iaitu komersial (pelbagai produk untuk kegunaan pelanggan), farmasi dan juga hospital yang menawarkan disinfeksi tahap tinggi yang digunakan di bilik bedah atau peralatan bertek­nologi tinggi di hospital.

Kami akan lancarkan 10 produk baharu pada tahun ini secara berperingkat dan ia masih lagi dalam proses kajian dan pembangunan (R&D) yang teliti.

Kami juga sedang bekerjasama dengan Mardi untuk membangunkan produk baharu yang menggunakan bahan semula jadi seperti buah-buahan tempatan.

Ia mungkin mengambil masa hampir lima tahun seperti mana kami bangunkan produk sulung JustGreat, yang dihasilkan daripada durian belanda, mang­ga, limau kasturi dan madu tulen. Ia mengambil masa selama hampir sembilan tahun.

Segmen manakah yang menjadi penyumbang terbesar kepada perolehan jualan?
Lebih daripada 75 peratus pendapatan adalah daripada segmen hospital.

Melihat kepada kecende­rungan syarikat mendapatkan pelbagai pensijilan dan piawai­an di dalam negara dan luar negara, apakah perancangan syarikat untuk menembusi pasaran global?
Kami memang berdaya saing untuk membangunkan R&D bagi produk pada masa depan dan kami begitu yakin untuk menembusi pasaran tempatan kerana adanya ISO peringkat Malaysia dan juga antarabangsa.

Kami berminat untuk membawa produk ke luar negara kerana faktor kos bahan mentah yang semakin meningkat dan dengan nilai ringgit yang menyusut, maka peluang untuk menjana jualan yang besar adalah berkurangan.

Sebab itulah kami ke luar negara memandangkan syarikat juga sudah membuka sebuah kilang di Myanmar tetapi kerana pandemik dua tahun lepas, kami belum memulakan sebarang aktiviti tetapi kami dalam proses untuk melaksanakannya dalam masa terdekat.

Apakah motif pembukaan kilang di Myanmar?
Saya mahukan jadikan ia sebagai hab bagi pengedaran produk syarikat kerana lokasinya yang strategik di tengah Asia, selain dapat memudahkan urusan pengedaran produk ke rantau tersebut.

Apa rancangan syarikat untuk meluaskan pasaran ke luar negara?
Kami telah selesai proses mendaftarkan cawangan terbaharu di Indonesia yang mana kami bangunkan syarikat yang dikenali sebagai Hana Medika dengan me­lantik ejen di sana.

Usahawan di sana berminat dengan produk kami yang unik. Mereka telah datang ke kilang untuk menjalani latihan dan bimbi­ngan. Ini adalah cawangan pertama kami di rantau Asia Tenggara dan mahu jadikan ia sebagai platform awal untuk meluaskan pasaran ke negara jiran yang lain.

Selain Myanmar dan Indonesia. Hana Medic juga aktif me­­­n­yertai pameran anjuran Matrade di luar negara, antaranya di Sepanyol, Myanmar, Jepun, Jerman dan Emiriyah Arab Bersatu yang mana ini usaha kami untuk mempromosikan kepada pelanggan di peringkat antarabangsa.

Kami juga sedang dalam proses memohon untuk memperoleh CE Marking iaitu satu tahap pengiktirafan syarikat yang telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan untuk membolehkan kami memasar dan menjual produk di rantau Eropah.

Boleh jelaskan lebih lanjut tentang CE Marking dan juga manfaatnya kepada syarikat?
Untuk membawa produk berkaitan hospital ke luar negara, terdapat beberapa negara yang perlu mendapatkan piawaian tersebut, khususnya pasaran Eropah. Tanpa CE Marking, kami tidak boleh menembusi pasaran Eropah.

Proses menunggu untuk memperoleh standard ini mungkin mengambil masa selama dua tahun. Untuk mendapatkan standard ini adalah sukar dan saya percaya tidak ramai syarikat bumiputera yang miliki CE Marking dalam produk keluaran masing-masing.

Selain dapat menembusi pasaran Eropah, kami juga yakin perolehan jualan akan bertambah sekali ganda pada masa depan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI