LONDON – Perubahan jadual dilakukan pengendali Liga Perdana Inggeris meletakkan pendahulu saingan, Arsenal dalam keadaan paling sukar untuk melunaskan misi mereka bergelar juara.
Walaupun mengakhiri aksi sebelum tempoh rehat antarabangsa dengan cemerlang memintas Liverpool selaku pendahulu, The Gunners berkemungkinan akan bermain 10 perlawanan dalam tempoh sebulan.
Selain berdepan tugas wajib untuk merangka taktikal terbaik, pengendali Arsenal, Mikel Arteta juga kini harus memikirkan cara paling relevan untuk melakukan penggiliran pemain tanpa berlaku sebarang penurunan prestasi.
“Inilah yang kami akan hadapi dan kami juga sudah pun tahu tentang keadaan ini. Ia adalah satu pilihan dan sekarang kami akan merancang untuk menyesuaikan diri dengan keadaan itu sebaik mungkin.
“Kami akan harungi tempoh yang menyesakkan sepanjang April. Sekalipun pasukan berehat dua atau tiga minggu, saya tidak fikir ia akan mengubah apa-apa,” katanya.
Ahad ini The Gunners akan menyambung aksi liga dengan penuh mencabar apabila dijadual menentang juara bertahan, Manchester City yang kini berada di tangga ketiga dan mereka hanya dipisahkan satu mata.
Selepas aksi di Etihad, Arsenal perlu kembali ke London untuk melayan kunjungan Luton Town di Emirates sebelum sekali lagi perlu berkelana ke gelanggang lawan bertemu Brighton.
Di pentas Eropah juga Arsenal bakal berdepan tugasan getir kerana diundi bertemu gergasi Jerman, Bayern Munich pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara. – AGENSI