fbpx

Bank Rakyat santuni 150 keluarga asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 150 keluarga menerima sumbangan daripada Bank Rakyat baru-baru ini.

PETALING JAYA – Seramai 150 buah keluarga asnaf di sekitar Sungai Buloh menerima sumbangan daripada Bank Rakyat berjumlah sebanyak RM30,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, sumbangan yang dihulurkan itu adalah berlandaskan kewajipan tuntutan salah satu rukun Islam serta komitmen Bank Rakyat dalam melaksanakan inisiatif jangkauan komunitinya untuk terus membantu golongan yang memerlukan, termasuk golongan asnaf.

“Sesungguhnya, rasa tanggungjawab bank terhadap golongan asnaf tidak pernah berbelah bahagi, malah menjadi agenda utama dalam misi bantuan yang diusahakan bagi membantu meringankan beban dan meneruskan kelangsungan hidup mereka.

“Semoga inisiatif ini secara tidak langsung memberi kesedaran agar kita sentiasa mengambil berat tentang keresahan dan masalah yang dihadapi oleh umat Islam lain, seterusnya membentuk kesejahteraan ummah apabila yang susah dibantu, yang lemah terus disantuni,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program penyerahan sumbangan tersebut di Masjid Bandar Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Program penyerahan sumbangan berkenaan turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramakrishnan.

Dalam pada itu, Ramakrishnan berkata, sumbangan daripada organisasi korporat merupakan satu inisiatif yang amat penting kerana ia mampu memberi impak kepada seluruh masyarakat dan negara dari segi kemakmuran sejagat.

“Saya memuji komitmen Bank Rakyat yang sentiasa berusaha mendekati masyarakat setempat menerusi inisiatif sebegini bagi memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan sebagai tanda ihsannya terhadap kesejahteraan golongan asnaf ini yang mana dilihat sejajar dengan nilai Malaysia Madani.

“Sudah tentu menjadi lebih bermakna buat mereka kerana dapat meringankan beban kewangan mereka dalam menjalani ibadah puasa dan membuat persiapan menyambut Aidilfitri kelak,” katanya.

Selain itu, baru-baru ini juga Bank Rakyat telah membuat serahan bantuan kelengkapan sekolah berjumlah RM30,000 kepada 300 murid kurang berkemampuan yang dikenal pasti di 10 sekolah di sekitar Sungai Buloh bagi membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan keperluan sekolah anak-anak.

Terdahulu, pada majlis tersebut, Ramakrishnan turut memberi sumbangan wang tunai keseluruhan berjumlah RM6,000 kepada 300 murid yang membuka Akaun Simpanan-i Nuri Bank Rakyat.

Bank Rakyat turut menganjurkan pelbagai inisiatif Jangkauan Komuniti dan program pemasaran dengan peruntukan sebanyak RM2.3 juta bersempena dengan kempen Ramadan Raya ‘Tulus Ikhlas’ tahun ini sebagai inisiatif Bank menghargai sokongan pelanggan dan masyarakat terhadap produk dan perkhidmatan Bank selama ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI