MOSCOW – Empat suspek kejadian serangan di Moscow didakwa di sebuah mahkamah di Russia atas tuduhan melakukan serangan pengganas di sebuah konsert sehingga membunuh sekurang-kurangnya 137 orang.
Akhbar Metro UK melaporkan, kumpulan pengganas Daesh mengaku bertanggungjawab dalam serangan di Dewan Bandaraya Crocus, Jumaat lalu.
Empat suspek lelaki lelaki yang diberkas itu didakwa melakukan keganasan, manakala mereka dibawa ke dalam bilik mahkamah dengan keadaan mata ditutup.
Tiga daripada mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Dalerdzhon Mirzoyev, 32; Saidakrami Rachabalizoda, 30 dan Shamsidin Fariduni, 25; kesemuanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Mereka berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup.
Sementara itu, Mukhammadsobir Faizov, 19, yang duduk di atas kerusi roda dengan mata tertutup sepanjang perbicaraan, tidak memberi maklum balas kepada pegawai mahkamah kerana keadaan kesihatannya.
Keempat-empat mereka ialah warganegara Tajikistan dan ditetapkan untuk ditahan dalam tahanan sehingga sekurang-kurangnya 22 Mei.
Dalam kejadian pada Jumaat lalu, sekumpulan penyerang memasuki bangunan Dewan Bandaraya Crocus sebelum melepaskan tembakan dan membaling sebutir bom tangan atau bom api, demikian menurut seorang wartawan agensi berita RIA Novosti yang berada di tempat kejadian.
Api pantas merebak di dalam dewan tersebut dengan asap memenuhi bangunan ketika pengunjung bergegas ke pintu keluar kecemasan, menyebabkan berlakunya rempuhan. – AGENSI