PETALING JAYA – Seorang wanita terkejut setelah mendapati inap desa yang ditempahnya melalui sebuah platform dalam talian rupanya tidak wujud.
Menurut hantaran @ladsheer di aplikasi X, dia telah mengalami kerugian sebanyak RM923 akibat penipuan tersebut.
“Saya tempah inap desa melalui sebuah platform atas talian. Tetapi bila pergi di alamat tersebut di Purajaya, rupanya inap desa tersebut tidak wujud!
“Ini kali pertama saya ditipu sepanjang tiga dekad hidup di dunia ini,” katanya.
Tambah wanita tersebut, dia tidak menyangka bakal menjadi mangsa penipuan memandangkan inap desa tersebut mempunyai laman Facebooknya sendiri.
“Saya periksa secara dalam talian, inap desa ini ada laman Facebook. Selepas itu, saya tempah melalui platform yang saya selalu guna, jadi saya tidak rasa was-was.
“Selepas saya buat bayaran di platform tersebut, pemilik inap desa WhatApp saya dan minta RM300 sebagai deposit. Ayat yang digunakan juga tersusun tidak seperti ‘scammer’.
“Malah, mereka ada beri saya invois sebagai bukti pembayaran,” katanya.
Bagaimanpun, setelah membayar invois, pemilik inap desa berkenaan tidak lagi membalas sebarang WhatsApp wanita tersebut.
“Hari saya sepatutnya ‘check-in’, saya ambil kunci daripada pemilik, tetapi dia tak balas mesej saya. Panggilan pun tidak angkat.
“Masa itulah, saya cuba Google inap desa tersebut. Rupanya betullah saya ditipu,” katanya.
Menurut wanita tersebut, melalui cariannya dalam talian, dia mendapati terdapat banyak hantaran di laman Facebook yang mendedahkan bahawa pemilik inap desa tersebut merupakan seorang ‘scammer’.
“Gugur jantung saya sebab ini pertama kali kena tipu. Keluarga dari Kedah sudah sampai dan mak pula baru balik umrah. Mesti semuanya penat.
“Saya kecewa kerana platform tersebut boleh paparkan inap desa yang tidak wujud itu dalam senarai. Saya dah pergi dan memang villa itu tak wujud dan tak nampak bayang langsung.
“Saya berharap pihak yang sewajarnya ambil tindakan terhadap inap desa ini. Duit deposit saya sebanyak RM300 pun ‘burn’,” katanya.
Kini, hantaran tersebut telah mendapat 1,600 tanda suka dan 217,000 bacaan. – KOSMO! ONLINE