fbpx

Polis siasat ‘child grooming’ antara guru dan pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan seorang guru wanita melakukan pengantunan seksual (sexual grooming) terhadap pelajar lelaki berusia 17 tahun.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, siasatan dijalankan sejak Disember lalu selepas keluarga remaja tersebut membuat laporan polis.

Menurutnya, semua pihak yang terbabit sudah dipanggil untuk dirakam percakapan termasuk remaja dan guru wanita berkenaan.

“Polis sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14, Akta Kesalahan Seks Terhadap kanak Kanak 2017.

“Siasatan masih berjalan yang mana kertas siasatan sebelum ini dihantar ke Bukit Aman sebelum diarahkan meneruskan siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular dalam aplikasi X seorang pengguna mendedahkan perlakuan tidak bermoral seorang guru wanita bercinta dengan pelajar lelaki berusia 17 tahun.

Menurut hantaran itu, pendidik yang juga ibu lima anak tersebut sudah beberapa kali mendekati ‘adiknya’ sehingga laporan polis terpaksa dibuat selain aduan kepada Pejabat Pendidikan Daerah dilakukan.

Tidak terhenti di situ, individu yang didakwa saudara mangsa turut memuat naik rakaman video mereka berdua-duaan di sebuah pantai.

Bagaimanapun, individu tersebut kemudian menurunkan hantaran berkenaan selepas ia tular.

Sementara itu ibu remaja terbabit ketika dihubungi memaklumkan, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah menghubunginya untuk mengadakan pertemuan selepas kejadian tersebut tular.

“Kejadian itu berlaku sudah lama (tahun lepas) dan saya sangka guru terbabit sudah insaf, namun dia masih berhubung dengan anak saya.

“Selepas kisah ini tular, pihak menteri sudah menghubungi untuk mengadakan pertemuan. Insya-Allah saya akan maklumkan fakta sebenar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI