DITELAN mati emak, diluah mati bapa. Mungkin itu pepatah paling tepat menggambarkan perasaan dan situasi yang dilalui pelakon, Abby Abadi berkaitan isu ‘kahwin lari’ membabitkan anaknya, Marissa Dania Hakim.
Sebagai ibu, Abby tentunya sedih dan tidak mahu anak keduanya itu terus dicaci, dimaki dan dibenci masyarakat , selepas dituduh menjadi penyondol dalam rumah tangga orang lain.
Bukan mahu mempertahankankan kesalahan si anak menjadi individu ketiga dalam rumah tangga orang lain, Abby cuma terkesan apabila Marissa terus menjadi bahan kecaman netizen yang melemparkan pelbagai kata-kata buruk tentangnya.
Keputusan wanita itu tampil bercerita tentang kronologi kisah Marissa yang lolos bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember tahun lalu juga menjadi sesalan buat dirinya. Dia merintih apabila luahan hati diputar belit banyak pihak, sehingga akhirnya mendapat teguran daripada bekas suami, Norman Hakim.
Norman dalam tegurannya terhadap Abby, meminta agar bekas isterinya itu bertenang dan tidak lagi berkongsi apa-apa tentang Marissa.
Hubungan Abby dengan bekas suaminya itu yang sebelum ini dilihat jernih selepas masing-masing melupakan kisah silam yang pernah berlaku antara mereka, akhirnya dilihat seperti retak menanti belah.
Ibarat bom jangka yang meledak, Abby akhirnya bersuara menyifatkan bekas suaminya itu lepas tangan terhadap isu yang melanda Marissa sehingga tercetus perang dingin antara mereka.
Abby bahkan dengan lantang mendakwa sudah penat kerana terlalu memendam perasaan terhadap bekas suaminya itu.
“Isu ini besar. Selagi tak selesai, selagi itu orang akan bercerita. Antara kita, memang ini yang berlaku pun.
“Ada lagi yang saya tidak tulis. Awak memang sangat mengecewakan!
“Saya penat lama menyimpan. Kasihan anak-anak saya, dari kecil awak buat sesuka hati awak sahaja. Sekarang anak-anak dah besar.
“Jadi tak perlu berbaik pun tak mengapa. Tak ada beza. Selesaikan apa yang patut dan yang tertangguh sekian lama. Kalau tak sedia, menjawab depan Allah SWT nanti,” tegas Abby.
Perkara yang diluahkan Abby sekali gus memberi bayangan bahawa dia sebenarnya sudah lama berdiam diri dan bersabar dengan Norman yang dilihat seolah-olah langsung tidak menghiraukan apa yang terjadi ke atas darah daging sendiri.
Enggan memanjangkan konfrontasi, Norman, 48, merendahkan ego, meminta maaf kepada bekas isteri dan berjanji akan menyelesaikan isu berbangkit mengenai anak mereka.
“Ampun maaf untuk yang kesekian kali, untuk segala kelemahan, salah dan silap. Saya ambil tanggungjawab ini andai ini semua khilaf saya.
“Seperti yang saya katakan insya-Allah saya usaha yang termampu,” kata Norman.
Namun, isu masih belum selesai apabila kenyataan lelaki itu menyebut soal kesukaran berkomunikasi dengan Abby dan tidak dapat berhubung dengan wanita itu.
“Jarang saya nak komen secara terbuka tetapi kami tak ada akses untuk menghubungi awak,” ujarnya.
Alasan yang diberikan Norman, sekali membuatkan Abby ‘naik hantu’, malah sempat meninggalkan sindiran terhadap lelaki yang pernah membelakangan dirinya itu.
Menganggap kenyataan tersebut sebagai melucukan, Abby membalas dengan bahasa sindiran, mengakui, dia sememangnya sukar dihubungi kerana mengalami masalah talian selepas berpindah ke Mongolia.
“Tak dapat dihubungi? Buat kelakar ke apa? Oh, lupa nak beritahu, line (talian) tidak ada. Saya sudah pindah Mongolia semalam,” tulis Abby.
Tidak tahu siapa yang betul, siapa yang salah. Cuma, apabila hubungan antara Abby dan Norman kembali menjadi renggang, sudah tentu satu persatu kisah mereka mula dicungkil netizen.
Apa yang pasti, netizen mula tersentuh simpati terhadap Abby. Abby si ibu dan wanita kuat yang telah lama bertabah mempertahankan haknya daripada dirampas.
Sebelum ini, kebahagiaannya sebagai isteri ‘dirampas’ selepas hadirnya orang ketiga dalam rumah tangganya.
Kini anaknya, Marissa pula ‘dirampas’ dengan cara tidak dijangka situasi dan kedangkalan darah muda, baik si anak atau menantu yang bagaikan masih belum mendapat sekalung restu daripadanya, seorang ibu mentua dalam keterpaksaan.