KAJANG – Lima lelaki ditahan polis disyaki terlibat dengan kes memukul anggota polis sehingga maut dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Impian Indah di sini, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya masih mengesan baki suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Katanya, kesemua suspek berusia 20 hingga 30 tahun itu ditahan semalam di sekitar daerah ini dan usaha mengesan beberapa individu lagi sedang dijalankan.
“Hasil bedah siasat yang selesai petang semalam mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan parah di kepala akibat hentakan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan seorang anggota polis maut dipercayai dipukul dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Impian Indah di sini, hari ini.
Mangsa berpangkat koperal berusia 34 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 3 pagi.
Susulan kejadian, pihak polis giat mengesan sekumpulan lelaki yang berada di lokasi kejadian semasa berlakunya insiden tersebut.
Hussein berkata, mangsa adalah anggota polis yang masih berkhidmat di Kontinjen Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE