PETALING JAYA – Tidak berdiam nama ‘dipetik’, pelakon Izara Aishah tampil menangkis fitnah seorang individu yang mendakwa dirinya berkunjung ke kelab malam walaupun sudah berhijab.
Pemilik nama lengkap Izara Aishah Hisham, 32, berkata, dia perlu tampil bagi menjelaskan situasi sebenar, sekali gus membersihkan nama baiknya.
“Saya perlu menjelaskan perkara ini kerana fitnah itu boleh mencemarkan nama baik saya.
“Gambar ini adalah pada tahun lepas ketika pelancaran restoran Kikyo (restoran Jepun). Waktu itu saya sedang hamil lapan bulan.
Dakwaan ini adalah fitnah dan saya sudah ‘screenshot’, tak perlu padam,” tulisnya dalam satu ciapan dalam aplikasi X.
Ibu kepada dua cahaya mata itu merujuk kepada tuduhan yang dimuat naik seorang pengguna aplikasi X menggunakan akaun @pkckAm.
I needed to clarify this cus this fitna may tarnish my reputation. pic.twitter.com/7fUmBkpN5s
— Madame Izara (@IzaraAishah) March 22, 2024
Dalam ciapan dibuat, individu terbabit memberikan gambaran tidak baik dengan menuduhnya ke kelab malam selepas seorang pengguna lain memuji kecantikan dan penghijrahannya.
Bagaimanapun, pemilik akaun terbabit sudah membuat permohonan maaf atas keterlanjuran kata-katanya.
“Saya ingin memohon maaf secara terbuka mengenai ciapan sebelum ini yang dibuat pada 19 Mac 2024.
“Saya tidak pernah berniat untuk memfitnah atau merosakkan reputasi anda dalam apa cara sekali pun.
“Kenyataan itu dibuat tanpa saya sedar sepenuhnya mengenai majlis pelancaran itu. Saya dengan rendah hati memohon maaf,” tulisnya.
Menerusi ciapan lain pula, Izara menjawab satu lagi tuduhan yang seolah-olah tidak berpuas hati terhadapnya apabila individu terbabit berusaha mencari kesilapannya.
Lelaki terbabit dilihat seakan-akan mahu memberikan amaran untuk mendedahkan aibnya kononnya yang diketahui ketika mereka sama-sama belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
“Bila masa saya masuk Aswara. Fitnah! Saya Sunway College,” katanya ringkas.
Hantaran berkenaan dibuat bagi membalas ciapan yang dimuatnaik pemilik akaun di bawah nama Amirul Adha.
“Ingat Izara, kita semua ada aib. Saya kenal awak dari Aswara juga,” tulis individu tersebut.
Penjelasan menantu kepada ahli perniagaan terkenal Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu meraih sokongan pengikutnya yang rata-rata mengetahui Izara bekas alumni Sunway College.
Peminatnya juga menitipkan pesanan agar artis kesayangan mereka mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah.
“Bukan nak jadi batu api tapi lebih baik saman,” tulis seorang peminatnya.
“Dia ingat semua artis dari Aswara ke? Nak fitnah tapi salah fakta,” ujar seorang netizen lain. – KOSMO! ONLINE