KOTA BHARU – Polis Kelantan sudah meluluskan sebanyak 159 daripada 267 permohonan permit untuk menjual bunga api sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, daripada jumlah itu, satu permohonan ditolak manakala selebihnya dalam proses untuk memperoleh kelulusan mengikut syarat yang ditetapkan.
Menurutnya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang menjual mercun dan bunga api tanpa permit yang dikeluarkan oleh pihak polis.
“Kita tidak teragak-agak untuk menahan individu yang terbabit dengan kegiatan menjual mercun dan bunga api apabila menerima maklumat daripada orang awam.
“Kegiatan penyeludupan mercun dan bunga api juga dilihat berkurangan ketika ini selepas sebuah kilang membuat barangan di Tak Bai, Thailand meletup baru-baru ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Cawangan Khas Kelantan dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Kelantan, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Terdahulu, Muhamad Zaki menyaksikan serah tugas antara Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mohd. Zamri Mohd.Rowi daripada pemangku jawatan tersebut, Superintendan Mohamad Hamizi Abdullah.
Pada majlis sama, Muhamad Zaki turut menyaksikan serah terima tugas melibatkan, Ketua Cawangan Khas Kelantan, Senior Asisten Komisioner Ahmad Norisham Maarus daripada Asisten Komisioner Nor Azmi Che Musa.
Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki memberitahu, pasukannya telah melakukan serbuan di Pangkalan Haram Pak Teh Kana, Jeram Perdah di Pasir Mas pada minggu lalu sebelum merampas satu guni yang mengandugi 11,800 biji mercun bola.
Katanya, dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi itu, penyeludup sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis. – KOSMO! ONLINE