fbpx

Selebriti digam, boikot sebab kontroversi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUHAINIES dan Aliff masuk senarai artis yang diboikot lantaran kontroversi biarpun belum dijatuhkan hukuman atas kesalahan mereka.

NAMA dua pelakon yang terjebak dalam kontroversi kes khalwat, Ruhainies dan Aliff Aziz sudah disenarai hitam beberapa produser susulan isu yang disifatkan tidak bermoral dan melanggar jenayah syariah.

Biarpun belum dibuktikan bersalah di mahkamah, perlakuan sebegitu dianggap merosakkan nama baik industri hiburan tanah air.

Aliff Aziz dan Ruhainies

Dianggap bukan tauladan atau idola, mereka juga dikatakan tidak wajar diketengahkan untuk tontonan umum menerusi televisyen.

Pada masa sama, tindakan boikot itu juga sebagai pengajaran termasuk peringatan kepada selebriti lain agar menjaga imej figura umum yang menjadi tumpuan ramai.

Minggu ini, Gala merangkumkan nama-nama selebriti yang pernah disenarai hitam rumah produksi dan stesen televisyen atas beberapa alasan.

Fauzi Nawawi

Selepas terjebak kontroversi lawak rogol dalam sebuah program bual bicara, nama pelakon Fauzi Nawawi sudah tidak lagi diterima di sebuah stesen televisyen.

Situasi tersebut berpunca pengakuan Fauzi menceritakan babak memperkosa seorang pelakon wanita menerusi sebuah naskhah lakonannya.

Akibat keterbukaan dan keghairahan penceritaan yang disifatkan seakan-akan mempermainkan mangsa jenayah seksual, gurauannya mencetuskan kecaman. Tidak hanya Fauzi stesen penyiar juga dianggap tidak sensitif.

Biarpun tiada makluman rasmi, Fauzi mendakwa namanya digugurkan beberapa produksi susulan insiden tersebut.

Zarina Zainuddin

Pelakon Zarina Zainuddin pernah menjadi antara pelakon yang disenarai hitam daripada membuat kemunculan menerusi stesen RTM.

Menurutnya, dia pernah ‘digam’ selama dua tahun sekali gus memberikan kesan terhadap sumber pendapatannya.

Demi periuk nasi dan atas pertimbangan rasional, Zarina terpaksa turun naik Bukit Angkasapuri bagi rayuan masalahnya.

Difahamkan, masalah Zarina berpunca daripada kes paling hangat sekitar 1992 berhubung isu gambar kontroversi yang tersiar sebuah akhbar tabloid.

Syazwan Zulkifly

GARA-GARA berbalah dengan seorang artis, pelakon Syazwan Zulkifly digam sebuah stesen televisyen tanah air yang selama ini kerap menampilkan wajahnya.

Kes Syazwan bertambah parah apabila persatuan yang mewakili karyawan seni tidak membantunya menyelesaikan isu dihadapi.

Berdasarkan pendedahannya, Syazwan mengakui disenarai hitam daripada membintangi drama siaran stesen tersebut selama dua tahun.

Biarpun peristiwa berkenaan sudah lama berlaku, bintang filem Juvana itu menganggap kejadian tersebut sebagai pengajaran yang mematangkan.

Sofi Jikan

TERPALIT isu penyalahgunaan dadah dan didakwa antara individu yang menganiaya sehingga tertangkapnya pelakon Farid Kamil atas kesalahan dadah, natijahnya Sofi Jikan hilang tawaran berlakon untuk satu tempoh yang agak panjang.

Lebih menyedihkan, tidak sekadar hilang tawaran pekerjaan, kebanyakan rakannya juga menjauhkan diri. Insiden 10 tahun lalu itu pernah mencetuskan kegemparan apabila Farid membuat laporan polis terhadap Sofi sebagai antara tiga individu yang disyaki meletakkan bahan terlarang dalam minumannya.

Akibat kes tersebut, beberapa kontrak lakonan bintang filem Rock itu dibatalkan dan bahkan, ada produksi mengarahkannya menulis surat dengan alasan menarik diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI