fbpx

Razlan sedia kembali terajui KLCA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Razlan Razali
DATUK Razlan Razali (kiri) berharap AJK KLCA dapat membuka mata dengan masalah yang dihadapi persatuan tersebut.

KUALA LUMPUR – Datuk Razlan Razali bersedia untuk memimpin Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA) sekiranya segala kepincangan yang melanda badan induk sukan itu ketika ini diperbaiki.

Baru-baru ini, Razlan telah meletakkan jawatan sejurus mendengar keluhan daripada ibu bapa mengenai anak-anak mereka yang menjalani latihan bersama KLCA dilayan secara tidak terhormat dan juga berlaku masalah pemberian elaun serta pengabaian soal keselamatan dalam latihan.

Kata Razlan, pendedahan yang dilakukan ibu bapa dalam satu sidang media hari ini segalanya telah jelas bahawa peletakan jawatannya itu bukan dibuat secara semborono malahan kecewa dengan sesetengah pihak dalam persatuan tersebut ambil perkara tersebut dengan sikap acuh tak acuh.

Tegas Razlan lagi, perkara yang mengecewakannya lagi apabila dimaklumkan apabila terdapat pelumba wanita berusia 13 tahun ditinggalkan sewaktu menjalani latihan tanpa pengawasan KLCA.

“Bila kita mendengar situasi sekarang terutama keluhan dari pihak ibu bapa sebentar tadi, terutama soal keselamatan anak-anak mereka kita bersimpati dengan apa yang telah terjadi.

“Bila kita dengar ada pelumba wanita berusia 13 tahun ditinggalkan sewaktu latihan di Bukit Hantu, Hulu Langat ini adalah satu perkara serius.

“Macam mana KLCA boleh tinggalkan budak perempuan seperti itu yang kita tahu jalan raya ini berbahaya terutama mampu mencetuskan kemalangan.

“Jadi, kini semua sudah jelas dan semua pihak tahu apa yang telah berlaku dalam KLCA. Bukan sekadar keselamatan malahan isu elaun juga dipertikaikan. Sebagai presiden KLCA saya perlu ambil maklum perkara ini jika tidak selesaikan macam mana penajaan nak masuk.

“Jadi, saya bersedia untuk kembali memimpin KLCA semula dan bina balik persatuan ini. Kita perlu perbetulkan masalah ini,” katanya pada sesi sidang media bersama ibu bapa dan bekas pelumba di ibu negara semalam.

Dalam pada itu, Razlan turut menuntut barisan 13 ahli jawatankuasa (AJK) tertinggi KLCA dapat membuka mata dan membuat pilihan dalam satu mesyuarat sama ada menerima ataupun tidak soal peletakan jawatannya selaku presiden tersebut.

“Kini terserah kepada 13 AJK KLCA membuat pilihan kerana kita telah mendengar dari kedua-dua belah pihak. Apa yang boleh saya katakan ialah perubahan harus dilakukan demi untuk membina pasukan berbasikal terbaik semula.

“Saya bersemangat dan ingin melakukan sesuatu tetapi persatuan ini lain sikit kerana jika hendak membuat perubahan, seluruh kemuniti perlu bersama-sama lakukan perubahan. Jika tidak, ia tidak akan berlaku.

“Tidak guna kalau saya masuk kembali tetapi situasi adalah sama tidak berubah. Kalau ada peluang kembali ke KLCA, saya ingin lakukan perubahan,” tambahnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN