LONDON – Liga Arab Saudi tidak merancang untuk mengeluarkan perbelanjaan mega pada musim panas nanti apabila jumlah penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan merudum biarpun sudah membawa masuk banyak pemain bernama besar.
Ketibaan Cristiano Ronaldo yang menyertai Al Nassr Januari tahun lalu menyaksikan Arab Saudi menjadi destinasi pilihan beberapa lagi pemain berprofil tinggi seperti Neymar, Karim Benzema, Sadio Mane dan N’Golo Kante setelah menerima tawaran lumayan.
Berdasarkan laporan, liga tersebut telah membelanjakan sejumlah £749 juta (RM4.51 bilion) untuk mendapatkan para pemain baharu pada jendela musim panas lalu untuk mengatasi beberapa liga di Eropah kecuali Liga Perdana Inggeris.
Pelaburan yang dibuat dengan membawa masuk pemain-pemain berprofil tinggi itu menyaksikan mereka berjaya menarik banyak hak penyiaran melibatkan 130 buah negara, meningkat empat kali ganda berbanding musim lalu.
Bagaimanapun, perkembangan dan kemajuan berkenaan tidak memberikan kesan kepada kehadiran peminat ke stadium apabila jumlah purata dicatatkan adalah sekitar 8,321 pada setiap perlawanan.
Jumlah berkenaan dikatakan menurun 10 peratus berbanding musim lalu dan Ketua Pegawai Operasi Liga Arab Saudi, Carlo Nohra mengakui fasiliti di stadium menjadi halangan terbesar untuk menarik peminat menyaksikan perlawanan secara langsung.
“Memberikan pengalaman yang hebat kepada peminat juga merupakan salah satu strategi perubahan yang sedang dirancang, namun ia tidak akan berlaku dalam tempoh satu malam.
“Kelab juga perlu menjual terlebih dahulu pemain mereka untuk musim baharu nanti sebelum mendapatkan menandatangani mana-mana pemain baharu,” ujarnya. – AGENSI