SHAH ALAM – Pemilik yang mendakwa bagasi mengandungi wang tunai RM500,000 yang ditemui di tempat letak kenderaan di sebuah pusat beli-belah di Damansara masih belum tampil memberi keterangan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini pihaknya telah menerima laporan daripada seorang pengarah syarikat teknologi maklumat berusia lewat 40an yang mendakwa wang itu milik syarikat mereka.
“Bagaimanapun, kita dapati pengadu ini selepas buat laporan polis, tidak hadir memberikan keterangan.
“Jadi, pihak polis masih tunggu individu ini datang jumpa Ketua Balai Polis Damansara bagi memberikan keterangan serta bukti berhubung pemilikan wang tersebut,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pengawal keselamatan menemui beg bagasi berwarna merah jambu dan putih berisi wang tunai lebih RM500,000.
Beg berkenaan ditemui pengawal berkenaan kira-kira pukul 8 pagi kelmarin. – KOSMO! ONLINE