PETALING JAYA – Ibu bapa terutamanya orang Islam diingatkan supaya berhati-hati memilih jodoh atau pasangan buat anak mereka.
Ini kerana kata penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus, individu tidak solat haram dibuat menantu walaupun pernikahan itu sah.
“Imam Ghazali kata, siapa yang ambil orang tidak sembahyang (solat) buat menantunya, maka dia telah berdosa besar.
“Kerana ia (bermenantukan orang tidak solat) sama hukum seperti memutuskan silaturrahim,” katanya pada satu sesi kuliah baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Azhar berkata, anak perempuan adalah amanah dan haram dijodohkan dengan orang fasik yang tidak tunduk kepada Allah S.W.T.
“Orang yang tak mahu tunduk sujud kepada Allah lebih jahat daripada iblis, kerana iblis sujud kepada Allah.
“Iblis hanya tak mahu hormat kepada Nabi Adam A.S. Kalau Tuhan suruh sujud kepada Allah, iblis sujud dan tidak ingkar walaupun sedikit,”tegasnya.
Tambah Azhar, orang tidak sembahyang tidak mahu tunduk kepada Allah, dia lebih jahat daripada syaitan. – KOSMO! ONLINE