fbpx

Mahsuri Dagang, ‘wira merah’ edar 1,000 pek bubur lambuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Tajuddin (tengah) memasukkan bubur lambuk ke dalam bekas untuk diedarkan pada program Kongsi Berkat Bubur Lambuk wira merah anjuran Mahsuri Dagang dan Media Mulia di Ibu Pejabat JBPM Putrajaya kelmarin. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

PUTRAJAYA – Syarikat Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. (Mahsuri Dagang) terus menyemarakkan bulan Ramadan ini apabila menjalin kerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengedarkan 1,000 pek bubur lambuk kepada komuniti Putrajaya.

Menariknya, aktiviti memasak secara ‘rewang’ di Ibu Pejabat JBPM di sini kelmarin, turut mendapat sentuhan air tangan ‘wira merah’ selain kakitangan Mahsuri Dagang dan Media Mulia Sdn. Bhd. (Media Mulia).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Presint 14, Penolong Penguasa Bomba Dianty Hussain berkata, juadah itu dianggap istimewa kerana disediakan oleh pegawai dan anggota bomba yang sinonim dalam kerja-kerja penyelamatan.

Menurutnya, meskipun resipi yang digunakan tiada sebarang elemen rahsia, namun juadah itu masih dianggap begitu istimewa kerana disediakan secara bergotong-royong oleh ‘wira merah’, petugas Mahsuri Dagang dan Media Mulia.

“Kami memasak sebanyak lima periuk besar bubur lambuk dalam tempoh hampir tiga jam yang mana proses penyediaan ini turut dibantu lebih 20 orang ‘wira merah’.

Ahmad Tajuddin (dua dari kiri), Nor Hisham (kiri) dan Shereen (kanan) memasak bubur lambuk.

“Jadi, kita harap kerjasama yang dibuat bersama Mahsuri Dagang dapat dite­ruskan pada masa akan datang, sekali gus membolehkan orang ramai melihat kemahiran memasak dimiliki wira merah,” kata­nya ketika ditemui Kosmo! pada Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk Mahsuri Dagang bersama Media Mulia dan JBPM kelmarin.

Turut hadir Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Dagang, Datuk Ahmad Tajuddin Idris, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad dan Ke­tua Pegawai Pemasaran dan Jualan Media Mulia, Shereen Wong.

Pek bubur lambuk yang turut disertakan dengan produk Mahsuri Dagang itu sete­rusnya diedarkan kepada petugas di Ibu Pejabat JBPM dan kawasan sekitar Balai Bomba dan Penyelamat Presint 14.

Ahmad Tajuddin (depan, tengah) bersama kakitangan Mahsuri Dagang, pegawai bomba dan kakitangan Media Mulia menunjukkan isyarat bagus pada program itu di Putrajaya kelmarin. – GAMBAR FARIZ RUSADIO

Sementara itu, Ketua Komersial Mahsuri Dagang, Mohd. Jazri Ikmal Hijaz berkata, agihan bubur lambuk kepada warga JBPM dan penduduk itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak­nya sempena bulan mulia ini.

“Menerusi siri kempen CSR, kami berkongsi bubur lambuk bersama masyarakat. Untuk prog­ram kali ini, Mahsuri Dagang bersama-sama dengan JBPM yang mana pasukan beruniform ini sentiasa berkhidmat untuk masyarakat.

“Mereka bekerja 24 jam dan sentiasa bersiap sedia untuk rakyat, program ini adalah bagi menghargai jasa mereka kepada masyarakat,” katanya.

Selebriti Nabil Ahmad yang juga duta Mahsuri Dagang mengedar bubur lambuk kepada orang ramai. – GAMBAR FARIZ RUSADIO

Mengulas lanjut, Mohd. Jazri memaklumkan, menerusi penglibatan program CSR tersebut, pihaknya juga mahu memberi jaminan kepada orang ramai bahawa produk Mahsuri Dagang halal untuk digunakan.

“Kami mahu menjelaskan bahawa produk Mahsuri Dagang begitu berkualiti yang mana sos tiram yang digunakan untuk memasak bubur lambuk menggunakan ekstrak tiram sebenar.

“Sos tiram itu akan memboleh­kan pengguna tidak menggunakan banyak bahan dalam memasak seterusnya memudahkan urusan di dapur,” katanya.

Mahsuri Dagang melaksanakan tiga sesi agihan bubur lambuk sepanjang Ramadan tahun ini me­libatkan penganjuran di Universiti Putra Malaysia, Ibu Pejabat JBPM dan Projek Perumahan Rakyat Semarak di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI