GEORGE TOWN – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menawarkan khidmat kaunseling kepada keluarga pelajar kolej vokasional di Lahad Datu, Sabah yang dipercayai maut akibat dibelasah, semalam.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini adalah prosedur biasa yang akan dilaksanakan pihaknya bagi membantu keluarga yang ditimpa musibah.
“Kita ada ramai kaunselor di seluruh negara yang berkemahiran serta memiliki kepakaran masing-masing,” katanya selepas menghadiri Program Sinar Ramadan Kumpulan Sunway di sini, Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan, seorang pelajar lelaki sebuah kolej vokasional ditemui mati dalam bilik asrama dipercayai akibat dibelasah rakan awal, pagi semalam.
Mangsa, Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azwan, 17, ditemui warden asrama yang bertugas pada pukul 6.50 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri. – KOSMO! ONLINE