PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia memberi kerjasama penuh dalam kes pelajar lelaki maut dibelasah rakan di sebuah kolej vokasional di Lahad Datu, Sabah, semalam.
KPM dalam kenyataan berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera dalam memberi bantuan kebajikan kepada keluarga mangsa.
Selain itu, jelas KPM, pihaknya juga turut menawarkan sokongan psikososial kepada keluarga, pelajar lain, guru dan seluruh warga kolej.
“KPM menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azwan. KPM menyeru semua pihak untuk menghormati privasi keluarga mangsa.
“KPM tidak berkompromi dengan salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya,” kata kenytaan itu tadi.
Semalam Kosmo! melaporkan, seorang pelajar lelaki sebuah kolej vokasional ditemui mati dalam bilik asrama dipercayai akibat dibelasah rakan awal pagi semalam.
Muhd Nazmie Aizat, ditemui warden asrama yang bertugas pada pukul 6.50 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis, Dr Rohan Shah Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada pengarah kolej terbabit.
Menurutnya, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan Hospital Lahad Datu. – KOSMO! ONLINE