PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, perpaduan berbilang kaum adalah hadiah yang paling bermakna buat baginda.
Seri Paduka Baginda bertitah, keharmonian dan semangat bersatu-padu dalam kalangan rakyat tanpa mengira agama atau bangsa amat penting untuk kestabilan negara.
“Bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi, saya menerima hadiah kek, buah-buahan dan bunga. Saya menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua buah tangan diterima.
“Namun, hadiah paling bermakna bagi saya adalah perpaduan antara kaum kerana ia merupakan kunci kepada kemakmuran negara,” titah baginda menerusi satu hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, baginda sering menitikberatkan konsep Bangsa Johor yang kekal diamalkan sejak sekian lama dalam menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di negeri itu.
Titah baginda, konsep Bangsa Johor adalah satu contoh yang baik serta tunjang perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Sultan Ibrahim seterusnya bertitah, Yayasan-Yayasan Diraja Johor juga berperanan aktif dalam membantu rakyat pelbagai kaum di Johor.
“Begitu juga Yayasan Sultan Ibrahim Johor yang menghulurkan pelbagai sumbangan secara berterusan dalam membantu meringankan beban golongan memerlukan.
“Saya amat mengalu-alukan jika ada pihak mahu menghulurkan sumbangan kepada Yayasan-Yayasan Diraja Johor dan juga yayasan lain di seluruh negara dalam kita bersama-sama meringankan beban rakyat miskin,” titah Yang di-Pertuan Agong. – KOSMO! ONLINE