SUNGAI BULOH – Seorang pelajar perempuan tingkatan empat meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah menengah di Bukit Rahman Putra, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 11.26 pagi.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis ke lokasi dan mendapati pelajar berkenaan terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan di sekolah berkenaan.
“Mayat remaja berusia 16 tahun itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, bedah siasat mendapati punca kematiannya adalah akibat kecederaan parah di kepala akibat terjatuh dari tempat tinggi.
“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR). Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan kegusaran atau menggugat ketenteraman awam,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE.