KUALA LUMPUR – UMNO berpegang teguh dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang inginkan tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sebarang usaha meremeh dan memperlekeh kalimah Allah.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, parti tersebut amat prihatin dengan beberapa isu sensitif yang menyentuh kesucian agama Islam, polemik perkauman dan mampu mencetuskan suasana ketidakharmonian dalam masyarakat majmuk negara ini.
“Sebagai contoh, isu-Isu seperti gugatan kepada akidah Islam dalam Filem Mentega Terbang, cadangan pewartaan Kampung Baharu Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Bak Kut Teh.
“Terkini, isu kalimah Allah di stoking kaki adalah sebahagian daripada isu yang menjadi polemik memudaratkan,” katanya ketika ditemui pemberita di sidang akhbar Majlis Berbuka Puasa Bersama Majlis Kerja Tertinggi UMNO di di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Dr. Asyraf berkata, sebagai parti yang menjadi benteng dan pemelihara kepada kedaulatan Islam, UMNO tidak akan sesekali berkompromi dengan apa jua tindakan yang memperkotak-katikkan kesucian agama Islam.
“UMNO berpendirian tegas dan teguh dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru agar semua lapisan masyarakat menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif membabitkan Raja, Kaum dan Agama (3R).
“Demi memelihara keharmonian, kerukunan dan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama yang sudah lama terbina di negara tercinta ini, UMNO menyeru semua agar isu-isu mutakhir ini dijadikan sebagai sempadan dan pengajaran penting supaya tidak berulang kembali,” katanya. – KOSMO! ONLINE.