PETALING JAYA – Bukan pendendam, sebaliknya penyanyi Adira memilih untuk tidak bertemu dengan individu yang pernah menyakitinya demi ketenangan hati.
Kata pemilik nama lengkap Siti Adira Suhaimi, 32, pendekatan sebegitu seiring dengan sifatnya yang mudah memaafkan dan enggan membenci sesiapa namun dalam masa sama enggan bermuka-muka.
“Saya seorang yang sangat ‘easy going’, lembut hati dan mudah memaafkan tetapi untuk bersua muka insya-Allah tidak.
“Cuba elakkan untuk bertemu bagi menjaga silaturrahim sebenarnya, bukan sebab membenci,” katanya dalam sesi perbualan santai dalam video dikongsi sebuah syarikat kosmetik jenama diwakilinya.
Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, keperibadiannya sebagaimana yang ditonjolkan di dalam mahu pun luar kamera juga sama iaitu mudah tertawa dan sarat sisi humor.
“Sebagai seorang individu yang mudah menerima apa saja situasi, semua perkara saya boleh buat, campaklah saya ke dalam hutan Insya-Allah saya boleh hidup.
“Saya pun suka sangat dengan orang yang pandai berjenaka sebab saya sukakan gelak ketawa,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, penyanyi Milik Kita itu kini masih dalam proses perceraian suaminya, Datuk Seri Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red.
Adira memfailkan perceraian kali kedua terhadap suaminya itu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang pada 25 Oktober tahun lalu.
Sepanjang sembilan tahun berkahwin dengan ahli perniagaan itu mereka dikurniakan empat anak iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayub, dua tahun. – KOSMO! ONLINE