LONDON – Pengurus England, Gareth Southgate berkemungkinan besar hilang empat bintang menjelang aksi persahabatan menentang Brazil di Stadium Wembley pada Ahad ini.
Southgate, 53, terpaksa meneruskan latihan bersama skuad utama tanpa kehadiran Harry Kane, Bukayo Saka, Cole Palmer dan Jordan Henderson yang diarahkan menjalani program kecergasan secara bersendirian.
Ia pastinya satu tamparan besar buat The Three Lions yang mahu menjadikan aksi persahabatan menentang Brazil dan Belgium tiga hari kemudian sebagai langkah persediaan sebelum menghadapi Kejohanan Euro 2024 pada Jun nanti.
Difahamkan, Kane, 30, masih belum pulih sepenuhnya daripada terseliuh buku lali yang dialami ketika berlanggar dengan tiang gol sewaktu membantu Bayern Munich menewaskan SV Darmstadt dalam saingan Bundesliga hujung minggu lalu.
Saka, 22, dan Palmer, 21, diberikan kelonggaran kerana mereka berdua telah bermain lebih 30 perlawanan bersama kelab masing-masing, manakala Henderson, 33, dilaporkan mengalami kecederaan otot.
Southgate pastinya enggan mengambil risiko dengan menurunkan Kane dan kini mungkin memberikan peluang kepada penyerang Aston Villa, Ollie Watkins atau penggempur Brentford, Ivan Toney mengisi kekosongan itu.
Berdasarkan prestasi semasa, Watkins dilihat lebih menonjol apabila meledak 16 gol selain mencipta 10 bantuan jaringan dalam 29 aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Villa musim ini.
“Saya masih tiada jawapan untuk memberikan kepada anda mengenai peluang mereka (Watkins dan Toney menentang Brazil). Ia bergantung kepada profil pemain yang kami perlukan untuk perlawanan itu nanti,” kata Southgate. – AGENSI