MADRID – Kelab gergasi La Liga, Real Madrid berhasrat untuk ‘merisik’ khidmat pemain muda Manchester United, Alejandro Garnacho persis seperti apa yang dilakukan ketika mendapatkan Cristiano Ronaldo pada tahun 2009.
Sebagai rekod, Garnacho yang berusia 20 tahun telah mengharungi musim yang cemerlang pada kali ini apabila membuat 20 penampilan dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) selain meledak lima gol.
Menurut laporan, Garnacho sememangnya berhasrat untuk mewakili The Galacticos pada masa depan kerana mahu mengikut jejak langkah Ronaldo yang juga idola peribadinya dalam bidang bola sepak.
Buat masa ini, difahamkan pemain naturalisasi Argentina itu masih mahu kekal bersama The Red Devils memandangkan baru sahaja menandatangani kontrak lanjutan sehingga musim 2028 pada tahun lalu.
Namun, Real mungkin mahu menggunakan helah yang sama seperti ketika mendapatkan Ronaldo dengan memantau perkembangan Garnacho sehingga pemain itu sudah cukup matang dan sesuai untuk ditandatangani pada beberapa musim lagi.
Bagaimanapun, Presiden Real, Florentino Perez sudah tidak sabar untuk bertemu secara peribadi dengan Garnacho dengan mengatur perjumpaan sulit ketika The Galacticos bertemu Manchester City pada aksi Liga Juara-Juara (UCL) bulan depan.
Buat masa ini, Garnacho yang lahir di Madrid menerima gaji tahunan sebanyak £2.6 juta (RM15.6 juta) selain memiliki tanda harga bernilai £34 juta (RM204 juta) berdasarkan laman transfermarkt. – AGENSI