PETALING JAYA – Platform gergasi media sosial, Instgram sedang menghadapi masalah sejak awal pagi tadi sehingga menjejaskan kebanyakan pengguna seluruh dunia.
Menerusi tinjauan Kosmo! di Facebook dan laman X, rata-rata pengguna terkejut apabila akaun Instagram mereka gagal diakses dan mencul logo menunggu (loading) yang hampir 10 minit.
Menurut pengguna X dari Pakistan, Shehryar Sajid Khan, dia pada mulanya menyangka akaun Instagramnya telah digodam, namun selepas membuat pemeriksaan rupanya paltform tersebut mengalami gangguan akses.
Sementara itu, lelaki asal England, Andrew turut mengalami situasi sama dan lebih mendebarkan apabila akaunnya secara tiba-tiba terkeluar (log out) secara sendiri.
Katanya, dia cuba mengakses masuk beberapa kali, tetapi tetap gagal.
Semakan Kosmo! di laman X juga mendapati tanda pagar (#instagramdown) sohor kini dengan meraih lebih 18,000 ciapan sejak pukul 7 pagi tadi.
Bagaimanapun, bagi pengguna Instagram di Malaysia, hanya sebahagian sahaja mengalami gangguan dan ia lebih terkesan di negara luar.
Antaranya Pakistan, Australia, England, Filipina dan California. – KOSMO! ONLINE