MELAKA – Kementerian Pendidikan memberi jaminan pelajar sekolah intergriti dan Sekolah Henry Gurney (SHG) di negara ini tidak akan terpinggir daripada mendapat akses pendidikan terbaik.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pelajar tersebut layak mendapat semua bentuk kemudahan dan kaedah pembelajaran mengikut tahap pendidikan serta jenis peperiksaan yang akan diduduki.
Kata beliau, golongan itu turut dijamin mengikuti program khusus untuk meningkatkan literasi dan numerasi serta ditempatkan dalam satu daripada lima kluster iaitu akademi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), agama, seni dan budaya serta sukan.
“Pelajar ini tidak akan dipinggirkan hanya kerana berada di sekolah intergriti atau di pusat koreksional, kita beri jaminan ini kerana mereka masuk ke sini dengan umur yang masih di bangku persekolahan dan pendidikan tetap menjadi keutamaan.
“Kita mahu anak-anak ini mencipta kejayaan dalam peperiksaan utama. Seperti yang saya katakan ada antara memperolehi 9A, 8A, 7A, 6A dan berjaya memasuki institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Hijrah Kasih ke-14 di SHG Telok Mas di sini, semalam.
Sementara itu, Fadlina mengakui, terdapat kekangan jumlah guru yang mengajar di lapan buah sekolah integriti dan tiga SHG di seluruh negara.
“Setakat ini kita mempunyai 83 guru di 11 sekolah. Kekurangan itu memang ada tapi kita akan tambah dari semasa ke semasa dan proses ini berlangsung sepanjang tahun,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE